Saturday, November 26, 2011

ROTI TUNA/SARDIN








Saya tak pernah mencuba buat roti, BM saya sudah lama dibelikan oleh anak saudara yang pulang dari perantauan. Baru berkesempatan mencuba menggunakan BM, kalau tiada BM,  boleh juga menggunakan tangan. Semasa memasak, kena sabar , buat satu persatu, saya masukkan terus dua dulang, menyebabkan roti sedikit hangit kerana terlalu dekat dengan besi panas...

Bahan-bahannya:
250 g tepung roti
50 g gula halus @ castor
10 g susu tepung
1/2 st garam halus
1/4 st bread improver
1/4 st bread softener
30 g telur
6 g instant yeast
20 g mentega
125 g air suam (BM- guna air sejuk)

Bahan tabur:
1 tin tuna - toskan dan lecek hingga hancur
2 1/2 sb mayonis (optional)
1 biji bawang besar (potong kiub)
daun bawang
limau kasturi (perah airnya)

**Gaul semua bahan biar sebati. Lebihan daun bawang dan bawang besar boleh ditabur atas roti.
Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan dalam Bread Maker (BM) dan pilih set "dough" dan tekan "ON".
2. Setelah siap, keluarkan doh dan tumbuk-tumbuk (dengan tangan) untuk mengeluarkan udara.
3. Bahagikan doh kepada saiz 70-80g dan biarkan sebentar. Susun dalm paper cup bentuk bujur.
4. Sapu telur (ambil dari lebihan telur dalam bahan tadi), dan tabur tuna serta daun bawang.
5. Biar lebih kurang 30 minit hingga kembang.
6. Bakar dalam oven 190 C selama 25 minit hingga perang atau kuning keemasan.
7. Boleh dihias dengan mayonis dan sos cili.
8. Selamat mencuba.

Tuesday, November 22, 2011

MENGHADIRI TAKLIMAT


Semenjak pagi tadi sehingga lewat petang, saya dan beberapa teman sekerja telah dilantik sebagai salah seorang petugas untuk satu misi penting bagi tahun hadapan. Taklimat akan berlangsung selama dua hari di salah sebuah jabatan kerajaan di daerah Manjung. Esok, taklimat dan amali akan diadakan bagi memastikan semua petugas mahir dan faham akan peranan masing-masing. Semoga semuanya berjalan dengan elok dan bila tiba masanya nanti, semua pembantu memberikan sepenuh komitmen  dan misi tersebut akan berjalan dengan lancar dan sempurna.Aminnnn..

Monday, November 21, 2011

SUP GEAR BOX @ TULANG





Sup Gear Box @ Sup Tulang merupakan makanan kegemaran keluarga saya. Walaupun kurang baik dari segi kesihatan, tetapi tak dapat ditahan kalau berada di depan mata. Betul tak? Saya rasa pembaca pun macam tu gak...

Macam mana boleh dapat nama gear box? Agaknya sebab tulang kaki daripada lutut ke tapak kaki semuanya sapu habis, dengan lutut yang macam gear kot...? Tapak kaki pun masuk sekali...Ada yang tak berani makan sebab geli, tapi...kalau orang kampung macam saya, makanan ni adalah makanan biasa. Biasanya disediakan semasa kenduri kahwin yang menumbangkan lembu...Tulangnya dibuat sup, dagingnya dimasak kari atau masak kicap atau rendang, ikut resepi tuan rumah..

Sup dimakan sebelum makan tengahari, kira-kira pukul sepuluh pagi. Dimakan bersama nasi putih atau bihun yang dicelur.Mmmmmm....yummm...

Semasa Hariraya Qurban baru-baru ini, saya telah diberi dua batang kaki lembu. Setelah diproses, saya pun masak sup kegemaran keluarga. Masak sup cara biasa memakan masa agak lama kira-kira 3-4 jam. Jika gunakan "pressure cooker", boleh masak dalam setengah jam sahaja selepas "tombol"nya naik. Kalau nak cuba, bolehlah ikut resepi dibawah...

Bahan-bahannya:
Bahan A:
2 batang kaki lembu (dipotong pendek)
1/2 kilo daging (dipotong sedehana)
Air secukupnya sehingga melitupi tulang dan daging (dalam periuk)
Bahan B:
5 biji bawang besar (dipotong)
5 ulas bawang merah*
5 ulas bawang putih*
2 inci halia*
3 sb serbuk rempah sup
1 sb serbuk ketumbar
2 sb jintan (campuran jintan manis dan putih)
1 sup bunjut
2 kayu manis
3 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Hiasan:
Daun sup dan daun bawang
Bawang goreng

Sambal kicap:
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi hijau
2 biji limau nipis(diperah airnya)
Kicap manis secukupnya
(Tumbuk bawang putih dan cili padi, campur kicap  manis dan perahan limau nipis).

*Tips: Untuk bahan rencah sup, seeloknya gunakan ketumbar biji, jintan manis dan putih biji, digoreng tanpa minyak dan dikisar.

Cara membuatnya:
1. Bersihkan tulang dan daging yang telah dipotong. Basuh dengan tepung untuk menghilangkan bau hanyir.
2. Pada masa yang sama, masak air dalam periuk yang agak besar dan dalam sedikit.
3. Bila air mula mendidih, masukkan tulang terlebih dahulu. Daging dimasukkan selepas kira-kira satu jam memasak.
4. Masukkan sup bunjut. Biarkan mendidih.
5. Tumbuk kasar bahan bertanda *. Kemudian masukkan dalam periuk.
6. Masukkan serbuk sup, ketumbar, jintan manis dan putih, serta 4 serangkai(kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga).
7. Setelah kira-kira sejam atau lebih, baru masukkan daging.
8. Setelah kira-kira 3 jam atau lebih, masukkan garam dan serbuk perasa (jika suka).
9. Sup masak sekiranya kelihatan daging agak mula lekang dari tulang.
10. Sedia untuk dihidangkan dan dihias daun sup dan bawang serta dimakan bersama sambal kicap.
11. Selamat mencuba.

**Tips: Bahan bertanda * tidak ditumis kerana sup tulang mempunyai minyak yang agak banyak...




MASIH LAGI BERJUANG







Walaupun musim cuti sekolah sudah bermula pada 19 hb November (kecuali Kedah, Kelantan dan Terengganu) yang mula bercuti pada 18 hb November 2011, pelajar-pelajar Tingkatan 5 masih lagi menduduki peperiksaan.Hari ini Kertas Pendidikan Islam/Moral. Seterusnya bagi pelajar-pelajar Pengaturcaraan Komputer di sekolah ini akan menduduki Kertas Matematik Tambahan pada 23 hb November 2011. Pada hari Khamis pula bagi subjek Sains dan Sains Aplikasi. Selepas itu mereka akan mempunyai ruang waktu yang agak lama untuk mengulangkaji matapelajaran berikutnya iaitu Prinsip Elektrik dan Elektronik bagi Pelajar MPAV dan Fundamentals of Programming bagi pelajar PK.

Satu Program telahpun dirancang agar pelajar-pelajar ini dapat dibantu untuk mengulangkaji bagi topik-topik yang agak sukar dan sering dikeluarkan dalam peperiksaan. Di samping itu, ianya membantu pelajar agar mengulangkaji secara berfokus.

Akhirnya mereka akan menduduki kertas terakhir pada 8 Disember 2011 untuk subjek Aplikasi Elektrik dan Elektronik serta PDT bagi pelajar Pengaturcaraan Komputer. Bagi pelajar aliran Sastera dan Sains, mungkin telah tamat peperiksaan lebih awal.

Wednesday, November 16, 2011

BAWAL MASAM MANIS




Ikan bawal kalau digoreng saja pun amat menyelerakan, dimakan pula dengan sambal kicap bersama nasi putih panas. Kadang-kadang kita ingin juga bertukar selera. Selain dari dibuat kari bersama kacang bendi atau terung, boleh juga dibuat masak masam manis. Yang saya buat ini, cuma hidangan biasa-biasa sahaja. Kalau dibuat sambal pedas pun sedap juga. Yang penting, ikan bawal masih baru dan segar, dagingnya manis dan sesuai dimasak apa pun. Mari tengok resepi mudah ni.....

Bahan-bahannya:
2-3 ekor bawal saiz sederhana (dibersihkan dan digoreng)
1 biji timun (dibuang biji dan didadu sederhana)
1 biji lobak merah (dipotong dadu)
1/2 tin nenas (bentuk kiub)
2 labu bawang besar (dihiris untuk hiasan)
2 cili merah (hiris untuk hiasan)
3-4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 sb sos tiram
2 sb sos cili
2 sb sos tomato/sos cili thai
1 sb cili giling (ikut suka pedas)
1 inci halia*
garam dan gula secukupnya
serbuk perasa (jika suka)

Cara membuatnya:
1. Bersihkan ikan bawal dan sapu garam kunyit dan digoreng hingga garing. Ketepikan.
2. Tumbuk bahan bertanda * dan goreng hingga wangi. Masukkan cili giling dan kacau hingga masak.
     (tambah air jika perlu).
3. Masukkan sos cili, sos tomato/sos cili thai dan sos tiram. Gaul rata.
4. Masukkan nenas tin bersama sedikit airnya (sirap) serta kacau rata. Masukkan garam dan gula  
    secukupnya.
5. Masukkan kiub lobak merah hingga agak lembut.
6. Masukkan timun kiub (jangan terlalu lama, nanti tak rangup)
7. Masukkan ikan bawal goreng, serta hirisan bawang hiasan serta cili hiasan.
8. Sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, November 15, 2011

HARI KEDUA PERJUANGANMU...















Dari jauh kelihatan mereka asyik dengan nota yang telah dibekalkan oleh para guru. dengan sedikit masa lagi untuk meneruskan perjuangan di dalam dewan peperiksaan, mereka mencuba sedaya mampu...mudah-mudahan bacaan saat akhir mampu memberi sinar kepada mereka...

Bagi menghilangkan resah, mereka cuba untuk menunjukkan muka ceria. Semoga ia mampu menghiburkan hati ...kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 akan diduduki sebentar lagi.

Penolong Kanan disertai dengan beberapa orang guru bersama-sama mengiringi pelajar-pelajar dengan doa yang tak pernah putus. Mereka mengaminkan dan disertai dengan doa restu para guru, mereka bersalaman lagi...memohon restu....InsyaAllah..kamu akan berjaya.

PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM - HARI KEDUA














Pelajar-pelajar memerlukan sokongan emosi dan spiritual dari para pendidik. Tambahan lagi mereka tinggal berjauhan dengan keluarga. Sokongan dari para guru amat mereka dambakan. Justeru itu, setiap malam sebelum mereka menghadapi peperiksaan, satu jadual telah dibuat bagi memastikan ada guru bersama mereka untuk membimbing di saat-saat akhir mereka mengulangkaji pelajaran. Alangkah bertuahnya pelajar-pelajar ini...Guru-guru meninggalkan anak-anak suami /isteri  mereka di rumah semata-mata untuk bersama-sama dengan pelajar bagi membantu di mana perlu.

Pagi-pagi lagi saya dapat melihat bagaimana pelajar-pelajar ini tak lekang dengan nota yang diberi. Kalaulah keadaan begini dilihat seawal bulan Januari lalu, sejuknya hati seorang guru..Alahai...
Walau apa pun, saya tetap mensyukuri apa yang saya lihat..disiplin baik..semuanya ok...

Sebelum memasuki dewan peperiksaan pagi tadi, sekali lagi mereka diberi kata-kata semangat dan iringan doa agar mereka sentiasa tenang dan dapat menjawab peperiksaan dengan baik, InsyaAllah.
Selamat meneruskan perjuangan...esok kertas Sejarah pula...

SAMBAL GORENG TEMPE


Makanan yang dikenali sebagai sambal goreng tempe ini sangat sesuai dimakan bersama nasi putih dan ayam masak kicap. Pokoknya...yang tak berkuah gitu....kalau bulan puasa, waktu bersahur dan tak selera makan...inilah lauk yang sesuai. Menyediakan lauk ini pun tidaklah sukar, semuanya perlu digoreng, selepas itu barulah disediakan sambal, dan digaul sekali. kalau sesiapa yang ingin mencuba, bolehlah ikut resepi berikut...(lain orang mungkin lain resepinya...)

Bahan-bahannya:
Bahan A:
2 keping tempe saiz biasa (dipotong nipis)
kacang buncis (agak-agak)
ikan bilis (semangkuk kecil)
2 keping fish cake (dihiris nipis)
2 cili merah dan hijau (dihiris)
Suhun dan fucuk (jika suka)
Minyak untuk menggoreng

Bahan untuk sambal:
Bahan B:
2 labu bawang besar (dihiris)
3 biji bawang kecil (ditumbuk kasar)
2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
2 batang serai (dihiris halus dan ditumbuk)
sedikit halia (ditumbuk halus)
2 sudu besar cili giling
2 -3 sb kicap manis
2 sb sos tiram
air asam jawa secukupnya
garam dan gula secukup rasa
serbuk perasa (jika suka)
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1. Goreng bahan A secara berasingan. Ketepikan.
2. Untuk menyediakan sambal, goreng bahan B yang ditumbuk dan dihiris hingga wangi.
3. Masukkan cili giling dan goreng hingga masak (naik minyak).
4. Masukkan air asam jawa,  kicap manis dan sos tiram dan masukkan garam dan gula secukupnya.
5. Goreng hingga kering dan hati-hati jangan hangit....
6. Masukkan semua Bahan A yang telah digoreng. gaul secukupnya.
7. Sedia untuk dihidangkan...

** Jika suka boleh gorengkan tauhu atau boleh gantikan kacang buncis dengan kacang panjang.Jika bahan gorengannya banyak, kena lebihkan gorengan sambal...!

Monday, November 14, 2011

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2011














Pagi tadi semua pelajar yang menduduki peperiksaan kelihatan berdebar-debar. nampak sedikit cemas, tugas kami menenangkan mereka, memberi kata-kata semangat serta mendoakan mereka dari jauh. Mereka sahaja yang dapat menulis atau menjawab dengan baik atau sebaliknya, berbekalkan semua ilmu yang telah dipelajari selama ini.

Sesi bermula dengan kata-kata semangat dari pendidik, seterusnya sekalung doa  dibacakan oleh Ustaz Mohd Fauzi dan Tuan Hj Azman selaku pembuka hari di dua pusat peperiksaan. Doa untuk mereka agar sentiasa tenang dan dapat menjawab dengan baik.

Begitulah manusia, dengan ujian yang sedikit, cemas dan tak tentu hala, tetapi kehidupan yang abadi di sana...bagaimana bekalannya....?Semestinya memerlukan persiapan yang lebih lagi..

Walau apa pun, semoga semuanya dapat meraih kejayaan yang gemilang untuk diri, keluarga, sekolah, agama, bangsa dan negara. Selamat Menduduki SPM tahun 2011.....