Friday, November 19, 2010

MARINA ISLAND....DI MANJUNG

Paparan jadual perjalanan feri

Bergambar di Jeti MI

Pan Silver Ferry

Paparan harga tiket feri..
Marina Island, namanya macam berada di luar negara, tapi di Manjung rupanya...Kalau anda ingin ke Pulau Pangkor, sekarang anda mempunyai dua pilihan, sama ada melalui Jeti Lumut atau Jeti Marina Island. Lokasi Marina Island ialah betul-betul di hadapan Teluk Batik, berhadapan dengan Hotel Marina Cove. Kalau anda ingin sampai ke sini, anda boleh ambil jalan masuk arah signboard Teluk Batik, tapi jangan masuk ke situ, nanti sampai ke TB. Anda ambil jalan masuk betul-betul selepas tanda arah Teluk Batik. Tak faham...? Kalau anda sampai ke sini nanti, anda boleh faham..
Menaiki feri melalui Jeti Marina Island mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja, dibandingkan dengan melalui Jeti Lumut yang mengambil masa lebih kurang 25 minit. Kelebihan dari Jeti Lumut ialah, anda dapat menikmati pemandangan laut yang lama. Berbaloi dengan RM10 dua hala yang anda bayar untuk tambang feri. Tapi, kalau kesuntukan masa, boleh melaui jalan alternatif ini.
Walaupun harga tambang sama, anda mesti menjadi ahli sama ada secara berkumpulan atau secara individu. Kad ahli hanya sah selama setahun. Kemudian barulah boleh membeli tiket feri.

Wednesday, November 17, 2010

SALAM AIDIL ADHA


Hari ini adalah merupakan hariraya qurban atau Hariraya Aidil Adha bagi umat Islam di Malaysia. Selepas menunaikan solat sunat hariraya nanti, ramailah antara kita yang turut sama membantu menyembelih, melapah, mengagihkan daging lembu yang dikorbankan pada tahun ini. Sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk berkorban yang masanya hanya ada 4 hari dalam setahun iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Kepada yang berkemampuan, ambillah peluang ini, sama-sama menyahut seruan Rasulullah dan disamping itu dapat membantu mereka yang memerlukan dan memberi hadiah kepada yang mampu.

Monday, November 15, 2010

WUKUF DI ARAFAH

Lengang..

Masjidil Haram mula lengang

Tempat jemaah berkumpul
Tiba di Arafah
Jemaah mula bergerak ke Arafah

Depan Haram - hari Jumaat

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa tarikh wukuf jatuh pada hari Isnin 9 Zulhijjah 1431 bersamaan 15 November 2010. Hari ini adalah antara hari yang di makbulkan doa. Berdoalah kepada Allah agar ditetapkan iman, sentiasa berada di jalan yang benar dan mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Kepada yang tidak mengerjakan haji, hari ini disunatkan berpuasa. Di Malaysia, 9 Zulhijjah jatuh pada hari Selasa 16 November.

Saturday, November 13, 2010

MAKAN DI LUAR...






Sesekali saya membawa anak-anak makan di luar. Zaman kanak-kanak...mereka tentunya ingin berkongsi cerita dengan kawan-kawan. Biasalah..kalau ikutkan mamanya, beli dan bawa balik...senang hati. Masa pun jimat, tapi wangnya tak jimat....

Kalau makan di gerai, setakat ini masih boleh dibilang dengan jari, hampir tak ingat di mana membawa mereka. Bukannya apa, anak-anak tak boleh makan pedas sangat, walaupun bagi orang lain..biasa je tak pedaslah..

Lagi satu, yang saya risau ialah tentang kebersihan premis, makanan, diri pengendali makanan (kuku, tahap kesihatan) dan peralatan. Kalau yang memang secara fizikal bersih, saya tidak teragak-agak untuk membeli dan makan di situ. Yang lagi penting, tentang halalnya...dan kesucian cara menyiapkan makanan..Ini cuma untu langkah berjaga-jaga, bukan saya seorang, saya pasti orang lain pun begitu. Bukan cerewet sangat pun....

JAMUAN AKHIR TAHUN

Sempat mereka ber"posing" depan restoran..

Dua jejaka beraksi depan kamera..


Khusyuk mendengar ucapan...

Pengawas PSS

Pengawas PSS..

Kami zaman dulu tak ada jamuan akhir tahun macam ni...kalau ada pun masa dah nak keluar U, itupun kalau ada duit nak join...
Itulah bezanya dulu dan sekarang. Anak-anak saya, sekolah rendah pun meraikan sesama mereka dengan jamuan akhir tahun. Macam-macamlah mereka demand nak dibawa ke sekolah. Minta kek lah, dadih lah, mee goreng, dsb. Saya kata bawalah makanan yang nanti mama belikan. Mereka rupanya lebih suka makanan yang dimasak sendiri di rumah. Memang la zaman dah berubah...
Semalam, kami meraikan pelajar-pelajar yang menjadi pengawas pusat sumber sekolah (pss) dalam satu majlis jamuan akhir tahun. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menghargai usaha mereka di samping menjadikan mereka insan yang tahu menghargai orang lain juga. Di samping itu, tentulah untuk mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Sederhana tetapi meriah..itulah klise ucapan orang terkenal...

Friday, November 12, 2010

UPSR - bukan penentu

Guru-guru memberi arahan..

Bergambar beramai-ramai setelah menerima keputusan

Berasama keputusan dan hadiah sumbangan PIBG

Semalam telah diumumkan secara rasminya keputusan UPSR di seluruh Malaysia. Dengan hati berdebar-debar menanti keputusan anak saya yang juga menduduki peperiksaan tersebut tahun ini. Secara umumnya, pencapaian akademik beliau agak konsisten sepanjang tahun1 hingga 6. Tetapi, untuk menyatakan terlalu yakin mendapat 5A dalam UPSR tentunya tidak.
Saya sering mengingatkan beliau supaya bersungguh-sungguh belajar dan sentiasa konsisten membuat latihan yang dibekalkan oleh guru. Semestinya menghormati guru juga amat penting, kerana tanpa guru, siapalah mereka.
Sejak awal pagi anak saya memberitahu supaya saya dapat hadir ke sekolahnya.
Saya kata "InsyaAllah"...
Mestilah, kerana semua perancangan kita Allah yang menentukan.
Saya tiba di sekolah tersebut sekitar 10 pagi kerana biasanya keputusan hanya diumumkan sekitar waktu tersebut. Ini kerana untuk memberikan masa bagi pihak sekolah untuk membuat beberapa persediaan dan membuat analisa pasca peperiksaan.
Pada hari yang sama, pihak sekolah juga mengadakan Hari Anugerah Cemerlang untuk pelajar-pelajar. Sudah tentu pengumuman UPSR merupakan acara kemuncak dan merupakan acara terakhir bagi hari tersebut. Terpaksa juga menunggu, kerana inginkan keputusan tersebut. Pandai cikgu-cikgu...kalau tidak tentu dah "lapang" dewan di sekolah.

Alhamdulillah, anak saya mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut dan semua pelajar yang mendapat 5A mendapat RM80 sumbangan PIBG.

Saya sempat mengingatkan "Jangan terlalu bangga, UPSR bukan penentu kehidupan, sentiasa bersyukur kerana perjalanan hidup masih panjang"....

Thursday, November 11, 2010

SEKOLAH BARU



Saya sentiasa mengikuti perkembangan sekolah baru ini semenjak ia mula dibina. Semasa saya dan rakan saya "meronda" sekitar Kampung Dato'Seri Kamaruddin tahun lepas, sekolah tersebut masih dalam peringkat awal pembinaan. Jalan ke kawasan tersebut juga kurang selesa. Tetapi, setelah siap tersergam dan hanya menanti untuk dibuka seawal tahun hadapan, saya dapati jalan ke kawasan tersebut telahpun dinaik taraf. Lengkap dengan longkang besar untuk menyalirkan air sekiranya hujan lebat, dan jalan yang siap bergarisan putih untuk kemudahan penduduk sekitar amnya, dan warga sekolah khususnya. Yang menariknya, sekolah baru tersebut lengkap dengan kemudahan pondok menunggu (bas dan kereta) yang berasingan dari jalan utama. Selamat untuk pelajar-pelajar dari kesibukan jalan utama dan memberi keselesaan bagi ibubapa atau bas yang mengambil dan menurunkan penumpang.
Sekolah tersebut ialah SMK Kampung Dato' Seri Kamaruddin, tersergam indah dan semoga dengan kewujudan sekolah tersebut dapat menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah di Seri Manjung yang pesat membangun ini. LAGI BESAR HARAPAN dari warga Seri Manjung ialah sekolah ini mampu melahirkan insan berguna untuk tanahair tercinta...

Tuesday, November 9, 2010

Berjumpa Setelah Berpisah

Semasa BBQ Dinner bersama kawan-kawan

Bergambar kumpulan di lobby Teluk Batik Resort

Dari kiri: NorAshikin, Hafizah, Norraha, Rielaiza, Nor Aliah dan Kama

Dari kiri NorAshikin Abdullah, Hafizah Hafni, anak Hafizah, Kama dan Nurin Wafa

Semasa di meja pendaftaran


Tanggal 30 Oktober, 2010 merupakan tarikh yang amat bermakna buat saya dan kawan-kawan seangkatan kerana setelah sekian lama terpisah, kami bertemu buat kesekian kalinya setelah masing-masing mempunyai keluarga dan kerjaya. Kami sebenarnya merupakan kumpulan kedua ambilan Julai tahun 1985 di ITM Seri Manjung (Sekarang UiTM). Sebagai kumpulan kedua di institusi tersebut, hubungan kami amat akrab. Jumlah kami pada waktu itu, kurang dari 500 orang. Kami hampir mengenali antara satu sama lain, walaupun tidak mengetahui nama, namun kami tahu mereka adalah pelajar ITM.
Setelah tamat pengajian, ada antara kami yang menyambung pelajaran termasuk saya sendiri. Ada juga yang terus bekerja dan yang paling menarik, ada yang sudah menjadi usahawan yang berjaya. Tahniah kepada semua kawan-kawan yang memeriahkan "Reunion DBS batch 1985/1988". Kita cuma merancang, hanya Allah yang mengizinkan pertemuan kita. Alhamdulillah...

Saturday, November 6, 2010

DEBARAN MENANTI PEPERIKSAAN


Tak berapa hari lagi, pelajar-pelajar tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan yang sangat penting iaitu SPM. Ada yang berdebar dan ada yang masih berdiam diri seolah-olah tiada apa yang bakal berlaku. Kepada pelajar-pelajar yang sentiasa menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan, tahniah diucapkan. Allah akan membalas setimpal dengan usaha anda...Yang lain-lain tu, jangan bergantung pada nasib. Usaha dan tawakkal kepada Allah.

Berbagai program telah diadakan di peringkat sekolah seawal tahun 2010 bermula dengan anugerah pelajar cemerlang 2009, sesi sejenak bersama pengetua, beberapa siri program motivasi, siri teknik menjawab peperiksaan, majlis graduasi 2010, program ELIT, dan beberapa program khusus dan berbagai program di peringkat asrama. Melihat kepada jumlah program yang telah diadakan, seharusnya ibubapa pelajar amat bersyukur kerana anak-anak mereka telah diasuh dan disediakan dengan pelbagai aktiviti untuk melahirkan pelajar soleh yang cemerlang. Aduh...kalau malas juga, tanyalah diri sendiri. Salah siapa lagi...

Selamat menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bermula pada 23 November 2010 ....