Saturday, October 29, 2011

MARILAH BERKORBAN...




Setiap tahun umat Islam diberi pelbagai hari yang istimewa agar umat Muhammad beramal dan menambah saham akhirat. Antaranya diberi Bulan Ramadhan AlBarakah yang mempunyai pelbagai kelebihan serta kemuliaan termasuk 10 malam yang terakhir, yang di dalamnya terdapat Lailatul Qadar. Dalam bulan Zulhijjah juga terdapat 10 hari yang mempunyai kelebihan, ditambah lagi dengan hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijjah.

Kita tidak tahu setakat mana lagi kita boleh menghirup udara di dunia ini. Mungkin 15 tahun lagi, mungkin 10 tahun lagi? atau mungkin tinggal 5 tahun lagi...atau mungkin beberapa bulan lagi. Sekiranya roh kita sudah kembali ke hadrat Illahi, kita tiada peluang lagi untuk beramal..The way of no return...tiada jalan kembali. Hanya amal di dunia sahaja yang mampu membantu kita dengan rahmat Allah jua..

Saya petik persoalan yang biasa kita temui saban tahun seperti berikut:

SOALAN: Apa kelebihan ibadah korban dan apakah hukum melakukan ibadah korban?
Jawapan:


بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد
Terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.[1] Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;[2]
1. Muslim
2. Baligh dan berakal
3. Bebas/merdeka
4. Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.

Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina.[3] Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)[4]

Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).[5]

Wallahu A'lam

Nota kaki:

[1] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)
[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[4] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.
[5] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 817. Lihat juga; Fiqh Sunnah, Saiyyid Sabiq.





No comments:

Post a Comment